Salam Sejahtera.
Kira-kira sebulan lagi Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI 2014) akan dianjurkan untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan karyawan nasyid dan lagu ketuhanan tanah air termasuklah komposer, penyanyi dan penulis lirik. Sebelum ini, Anugerah Nasyid IKIM.fm (ANI) yang dikenali sebagai Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (ACNI) telah dianjurkan kali terakhir pada tahun 2005. Penganjuran ANI kali ini diharapkan akan mampu memartabatkan kembali industri nasyid tanah air dengan kehadiran pelbagai lagu bercorak nasyid dan ketuhanan pada masa kini.
Blog ini telah mengadakan satu bancian untuk mengetahui lagu mana yang diramalkan oleh pengunjung blog akan layak ke peringkat akhir Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 ini yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2015 nanti.
Keputusan undian pengunjung blog Carta IKIM (sila klik untuk saiz lebih besar)
Mengikut keputusan undian hasil pilihan pengunjung blog, 10 lagu yang mendapat undian tertinggi adalah Bintang Syurga (52 undi), Seiring Sehaluan dan Tangis Sebatang Tamar (45 undi), Kasih Padamu (43), Jodoh Berdua (39), Kau Ditakdirkan Untukku (35), Warkah Cinta (33), La Tahzan (31), Dalam Sujud Cintaku (30) dan AdaMu (29 undi). Adakah ramalan mereka tepat?
Persoalan lagu mana yang bakal bersaing pada ANI 2014 terjawab pada 4 Disember lalu. Menerusi satu sidang media khas, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan telah mengumumkan senarai 10 buah lagu yang layak ke peringkat akhir Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014. 10 lagu yang terpilih ini boleh dianggap lagu-lagu terbaik setelah melalui penilaian barisan juri profesional daripada 30 lagu telah yang disenarai pendek sebelum ini. 30 lagu itu telah dipilih menerusi undian peminat Carta IKIM.fm sepanjang musim keenam carta ini bersiaran.
Suasana sidang media pengumuman finalis
Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI 2014)
Antara artis yang layak ke peringkat akhir termasuk Hafiz Hamidun, Daqmie, Halim Ahmad, Mawi dan Dato' AC Mizal, disamping kumpulan nasyid popular tanah air seperti Inteam, Nowseeheart dan UNIC. Turut mara ke kemuncak ANI 2014 ialah gandingan kumpulan Du'a bersama Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar serta Amirul Haswendy yang merupakan seorang wartawan hiburan di akhbar Harian Metro.
10 Lagu Yang Layak Ke Peringkat Akhir Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI 2014):
(1) Al-Haq... Yang Satu - Mawi feat. Dato' AC Mizal
(2) Dalam Sujud Cintaku - Halim Ahmad
(3) Iman & Aman - Inteam
(4) Jodoh Berdua - Hafiz Hamidun
(5) Kasih Padamu - Hafiz Hamidun
(6) Maafkan Aku - Nowseeheart
(7) Rindu Ini - Du'a feat. Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir & Azfar
(8) Seiring Sehaluan - UNIC
(9) Tangis Sebatang Tamar - Daqmie
(10) Ucaplah Alhamdulillah - Amirul Haswendy
Antara finalis ANI 2014 yang hadir
Sebanyak sepuluh kategori anugerah dipertandingkan untuk ANI 2014 ini. Antaranya:
(1) Lagu Terbaik
(2) Lirik Terbaik
(3) Persembahan Terbaik
(4) Vokal Terbaik
(5) Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta IKIM
(6) Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta IKIM
(7) Artis Baru Terbaik
(8) Artis Solo Pilihan Pendengar
(9) Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar
(10) Lagu Pilihan Pendengar
Pemenang untuk kategori Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik akan dinilai oleh barisan juri profesional. Keputusan akan diumumkan setelah tamat persembahan pada malam kemuncak ANI 2014 nanti.
Anugerah Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta IKIM, Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta IKIM dan Artis Baru Terbaik akan diberikan kepada lagu yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim keenam Carta IKIM.fm yang lalu.
Bagi kategori Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar pula, keputusan bagi tiga kategori ini akan ditentukan sepenuhnya oleh peminat IKIM.fm menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS). Menurut pihak IKIM, hasil kutipan undian SMS ini akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih nanti. Butiran lanjut tentang undian secara SMS ini boleh diketahui menerusi laman sesawang IKIM.fm mulai 8 Disember ini.
Augerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI 2014) ini yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Januari 2015 ini akan disiarkan secara langsung menerusi radio IKIM.fm, TV Ikim (http://www.tvikim.my), dan TV Al-Hijrah bermula jam 8.45 malam. Selebriti terkenal Amin Idris dan Heliza Helmi pula telah dipilih sebagai pengacara untuk malam kemuncak ANI 2014 ini.
Kesemua pemenang akan membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai yang akan diumumkan jumlahnya pada malam kemuncak ANI 2014 nanti.
Comments