Skip to main content

Sekitar Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22)

Saban tahun Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menganjurkan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan seni suara tanah air. Menyusuli edisi ke-21 yang berlangsung pada tahun 2014, Anugerah Industri Muzik kali ke-22 (AIM 22) selamat dilangsungkan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 18 Disember yang lalu. 


Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22) mempertandingkan 24 kategori termasuk beberapa kategori 'online' dan anugerah khas. Namun seperti tahun-tahun yang sudah, kita akan memberi tumpuan kepada anugerah bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik. Sebelum ini, lagu Rindu Allah Sayang Allah (R.A.S.A) dendangan Iwan Syahman dan Iwan Junior telah dinobatkan sebagai Lagu Nasyid Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21). Kali ini lima buah lagu nasyid terpilih sebagai finalis kategori ini. 

Pemenang Anugerah Lagu Nasyid Terbaik AIM 22
Lagu : Mikraj Cinta 
Penyanyi: Datuk Siti Nurhaliza
Lagu: Hafiz Hamidun
Lirik: Ahmad Fedtri Yahya

Lagu Mikraj Cinta nyanyian Datuk Siti Nurhaliza telah diisytiharkan sebagai Lagu Nasyid Terbaik AIM 22. Lagu ini merupakan hasil ciptaan gandingan mantap Hafiz Hamidun (lagu) dan Ahmad Fedtri Yahya (lirik) yang sudah tidak asing lagi dengan penciptaan lagu-lagu nasyid dan kerohanian. Ditambah dengan kekuatan vokal Datuk Siti Nurhaliza, lagu Mikraj Cinta menjadi pilihan juri profesional untuk memenangi anugerah bagi kategori ini. 


Saingan bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik cukup sengit dengan kehadiran karya-karya hebat termasuk lagu Tangis Sebatang Tamar nyanyian Daqmie. Lagu yang menceritakan kisah sebatang pohon tamar dan Rasulullah S.A.W ini tidak asing lagi dalam kalangan peminat lagu nasyid kerana pernah muncul selaku Juara Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI 2014) selain menggondol anugerah Vokal Terbaik dan anugerah Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta dalam festival yang sama.


Lagu Hanya Nama-Mu yang dipersembahkan oleh Caliph Buskers juga tidak ketinggalan memberi saingan sengit dalam kategori ini dengan statusnya yang pernah memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 30 pada tahun lalu. Lagu ciptaan Edry Abdul Halim ini telah kerap kali digunakan sebagai lagu latar dalam drama-drama yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.


Sementara itu, kombinasi lagu dan lirik oleh Hafiz Hamidun dan ITO Lara menghasilkan sebuah lagu berjudul Cinta Sidna. Digabungkan dengan vokal Suhaimi Saad, lagu ini berjaya melayakkan diri sebagai salah satu lagu nasyid terbaik bagi AIM 22. Lagu ini mengisahkan kisah cinta Rasulullah S.A.W kepada umatnya dan turut disenaraikan dalam album Suhaimi, Maksud Hidup yang mula diterbitkan awal tahun ini.


Sebuah lagi lagu yang tersenarai sebagai finalis bagi kategori ini adalah Maulaya dendangan Lah Ahmad. Lagu bercorak selawat ini merupakan salah sebuah lagu dalam album terbaru Lah Ahmad, Sempurna dan Terbaik yang boleh didapati di pasaran ketika ini.


Selain itu, beberapa lagu nasyid lain seperti Qod Kafani nyanyian The Mikraj, Selawat Untukmu (Nowseeheart) dan Syamail Muhammadiah (UNIC) turut tersenarai sebagai finalis dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan dalam Lagu. 

Comments

Topik Hangat

Carta Nasyid IKIM.fm 2018: Minggu 10

Imbas Kembali: Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2005 (ACNI 2005)

Imbas Kembali: Perancangan Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (2007/2008)