Skip to main content

Imbas Kembali: Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004 (ACNI 2004)

Salam Sejahtera.



Pada tahun 2004, pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (ACNI) buat julung kalinya. Anugerah ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada sumbangan karyawan nasyid tanah air. Lagu-lagu yang layak ke peringkat akhir ACNI adalah lagu yang paling konsisten dalam kedudukan Carta IKIM yang dulunya dikenali sebagai Carta Pilihan Utama Nasyid (PUN) kelolaan Mohd Erwan Johari yang bersiaran setiap Jumaat malam Sabtu di IKIM.fm.

Acara Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (ACNI) 2004 telah diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2004. Acara pada malam itu juga telah disiarkan di stesen radio IKIM.fm. Antara artis nasyid yang terlibat termasuklah kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, In-Team, UNIC, Saujana, Nowseeheart, Firdaus dan Amar. Manakala kumpulan D'Hearty dan Alarm Me tampil sebagai artis undangan. Tiket-tiket untuk menyaksikan pertandingan pada malam itu boleh didapati secara percuma di ibu pejabat IKIM.

Lagu Hanzalah daripada kumpulan Rabbani adalah antara 
lagu yang bertanding pada ACNI 2004.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, pengerusi IKIM ketika itu Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid menjelaskan bahawa metodologi dakwah kini tidak lagi terhad kepada majlis ilmu semata-mata, malah Islam tidak menolak hiburan selagi ia berlandaskan syariat. Beliau juga mencadangkan supaya penghasilan lagu nasyid tidak terhad kepada bahasa Malaysia semata-mata. Pada pendapat beliau, hiburan nasyid boleh dijadikan salah satu cara mencari ketenangan dan mengurangkan tekanan. Walaubagaimanapun, tegas beliau lagi, hiburan bukanlah matlamat dalam kehidupan. Beliau juga berpesan kepada artis nasyid supaya menjaga peribadi mereka kerana mereka menampilkan imej Islam. 

Senarai 10 lagu yang bertanding dalam ACNI 2004:

1) Cebisan Kenangan - Amar
2) Rahmat KasihMu - Saujana
3) Damba Kasih - In-Team
4) Sumayyah - Hijjaz
5) Ke Makam Bonda - UNIC
6) Ratu Hati - Firdaus
7) Hanzalah - Rabbani
8) Hijrah - Nowseeheart
9) Lakaran Minda - Saujana
10) Untukmu Palestin - Raihan

Beberapa kategori anugerah turut dipertandingkan selain kedudukan juara, tempat kedua dan ketiga. Antaranya ialah: 

1) Penulis Lirik Terbaik
2) Persembahan Terbaik
3) Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta
4) Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta

Juara pada malam tersebut membawa pulang wang tunai RM 8000 sumbangan Golden Hope Plantation Sdn. Bhd., trofi, sijil dan buku-buku sumbangan Ikim. Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM 5000 dan RM 3000 serta trofi, sijil dan juga buku.

Pemenang bagi setiap kategori pula menerima wang tunai RM 2000, trofi, sijil dan tulisan khat sumbangan Yayasan Restu.

Keputusan Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004 pula adalah seperti berikut:

Tempat Pertama
Hanzalah - Rabbani

Tempat Kedua
Lakaran Minda - Saujana

Tempat Ketiga
Ke Makam Bonda - UNIC

Penulis Lirik Terbaik
Allahyarham Usman Awang (Ke Makam Bonda - UNIC)

Persembahan Terbaik
Hijrah - Nowseeheart

Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta
Nur Kasih - In-Team

Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta
Sumayyah - Hijjaz

Sumber: Utusan & IKIM 

Comments

Topik Hangat

Carta Nasyid IKIM.fm 2018: Minggu 10

Imbas Kembali: Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2005 (ACNI 2005)

Imbas Kembali: Perancangan Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm (2007/2008)